KUALA LUMPUR – Pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli berjaya menebus kesilapan strategi semalam dengan mencipta kebangkitan di pentas podium selepas menamatkan Perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di tempat kedua, sebentar tadi.
Pelumba berusia 17 tahun itu yang memulakan perlumbaan dari petak kelima di Litar Mugello, Itali sedikit bergelut pada awal saingan, namun bijak membaca peluang di setiap selekoh serta laluan lurus untuk berada di hadapan.
Bagaimanapun, ketika Hakim hampir mengesahkan kemenangan selepas mendahului perlumbaan, pelumba Indonesia, Veda Pratama berjaya mencuri ruang di garisan penamat untuk mengungguli perlumbaan dengan kelebihan 0.011 saat.

Semalam, Hakim Danish sekadar menduduki tempat ke-14 dalam Perlumbaan 1.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke podium. Semalam strategi saya silap, tetapi hari ini semuanya berjalan lebih baik. Sedikit saja lagi untuk kemenangan. Apapun, terima kasih kepada semua, penaja serta staf Red Bull Rookies Cup,” katanya.
Kejayaan menaiki podium hari ini menghadiahkan 20 mata buat pelumba kelahiran Terengganu itu, sekali gus mengukuhkan cengkamannya di puncak carta kejuaraan dengan 148 mata keseluruhan.

Hakim kini mendahului pencabar terdekat dari Sepanyol, Brian Uriarte, dengan jurang 32 mata, manakala Veda Pratama yang muncul juara dua kali berturut-turut di Itali, kini menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan 92 mata. – KOSMO! ONLINE