KUALA KANGSAR – Pemain industri perladangan termasuk sawit dan getah disyaratkan menggaji pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan sebelum diluluskan mengambil pekerja asing.
Menteri Perladangan dan Koperasi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kementeriannya akan menetapkan prasyarat itu dengan pemain industri perlu membuktikan mereka telah berbuat demikian sebelum pengambilan pekerja asing diluluskan.
Beliau berkata, syarat itu akan ditetapkan supaya rakyat tempatan terutama lepasan TVET dalam bidang perladangan dan yang berkaitan diberi peluang latihan serta pekerjaan.
Katanya, negara kini cuba menarik anak muda menyertai TVET dan hasrat itu tidak boleh berjaya sekiranya pemain industri tidak membuka peluang kepada para pelajar.
“Apa yang kita berdepan sekarang, banyak daripada (pemain) industri-industri tidak mahu mengambil lepasan latihan TVET untuk bekerja bagi mendapatkan pengetahuan.
“Saya hendak tekankan, selepas ini mana-mana sektor perladangan (pemain industri) yang hendak minta pekerja asing, mereka kena tunjuk kepada saya bahawa mereka ada mengambil inisiatif untuk pelajar-pelajar TVET.
“Kalau mereka tidak mahu mengambil pelajar TVET, saya tidak akan bagi (luluskan) pengambilan pekerja asing. Saya tidak akan bagi walaupun kerajaan telah meluluskan pekerja asing sektor perladangan kerana tidak ada sumbangan kepada anak-anak tempatan,” katanya semasa majlis Dialog@KPK Bersama YB Menteri Kementerian Perladangan Dan Komoditi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE