SEBERANG PERAI – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang dia pandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di Jalan Victoria, Nibong Tebal di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 52 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan namun terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaiknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku ada pukul 10.41 pagi tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa diketuai oleh Komander Operasi Suharto Khoo Mohamad Rosli dan jarak ke lokasi kejadian terletak kira-kira tiga kilometer.
“Kemalangan melibatkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang tebabas ke dalam parit dan terdapat seorang mangsa telah terperangkap di dalam kenderaan itu.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan dan mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 11.05 pagi tadi. Mangsa yang mengalami kecederaan ringan kemudiannya diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini. -KOSMO! ONLINE