MELAKA – Dua lelaki maut selepas masing-masing tersepit dan tercampak keluar dari Proton Wira yang dinaiki apabila kenderaan itu terbabas merempuh pokok di Jalan Persisiran Pantai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 itu, mangsa yang berusia 27 dan 28 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) l Mohd. Zahery Mohd. Zailani berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.51 pagi melalui talian MERS 999.
Katanya sepasukan lapan anggota bersama-sama satu jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan tiba pada pukul 7 pagi dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbabas melanggar pokok.
“Seorang mangsa lelaki berusia 28 tahun tersepit dan pasukan bomba melakukan operasi untuk mengeluarkannya, manakala seorang lagi 27 tahun telah tercampak keluar dari kereta,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam masa 17 minit, namun disahkan telah meninggal dunia.
“Kedua-dua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE