fbpx

PHB tawar 300 juta unit AHB baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Arshad (kanan) mengiringi Sultan Mizan (tiga dari kanan) meninjau Mayang Mall, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan pembukaan 300 juta unit Amanah Hartanah Berhad (AHB) berharga tetap RM1 seunit kepada pelanggan Bumiputera untuk dilanggan mulai hari ini.

Pengerusi PHB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pembukaan unit tambahan AHB tersebut merupakan inisiatif memperluaskan peluang pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial yang bernilai tinggi.

Beliau berkata, walaupun unit tambahan AHB terbabit disasar kepada warga Pantai Timur, ia boleh dibeli individu Bumiputera di seluruh negara.

“Sebanyak 300 juta unit AHB ini adalah peluang terbaik bagi Bumiputera untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan mereka dengan risiko rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar.

“Kami berharap agar masyarakat Terengganu dan Pantai Timur dapat merebut peluang ini untuk melabur di dalam dana AHB,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian pusat membeli-belah Mayang Mall di sini hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Mayang Mall yang merupakan aset hartanah komersial PHB pertama di Pantai Timur.

Raja Arshad berkata, AHB merupakan dana pelaburan yang patuh syariah dan menawarkan pendapatan yang stabil serta konsisten.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan Mayang Mall sejak Disember tahun lalu disasar dapat menjadi katalis memperluas potensi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Terengganu dan Pantai Timur.

“Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama pelaburan hartanah PHB di Pantai Timur kerana potensi pertumbuhan ekonomi yang sangat besar di daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI