PETALING JAYA – Skuad remaja bawah 15 (B-15) tahun negara menjadi pasukan antarabangsa pertama dijemput menyertai Kejohanan Emerging Matildas dan Emerging Socceroos 2025 anjuran Persatuan Bola Sepak Australia.
Penyertaan itu diterima selepas Malaysia mengesahkan minat secara rasmi menerusi proses Penyerahan Minat (EOI) kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum di pilih menyertai kedua-dua kejohanan elit berkenaan.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, penyertaan ini sebagai satu anjakan dalam usaha memberi pendedahan antarabangsa kepada bakat muda negara.
“Ini bukan sekadar kejohanan. Ia adalah platform penting untuk menimba pengalaman sebenar dan membina asas bola sepak masa depan Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Joehari turut menegaskan hubungan bola sepak antara Malaysia dan Australia bukan hanya membabitkan aksi di padang, tetapi merangkumi pertukaran ilmu dan kerjasama teknikal yang lebih menyeluruh.
“Peluang ini bukan selalu datang. Kami yakin ia mampu membuka ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua badan induk bola sepak,” katanya.
Berdasarkan perancangan, kejohanan akan berlangsung di dua lokasi utama membabitkan Valentine Sports Park, Sydney dan Home of the Matildas di Universiti La Trobe, Melbourne bermula Julai depan. – KOSMO! ONLINE