fbpx
LITAR Sepang dipilih sebagai venue perasmian Sukma Selangor yang akan berlangsung pada Ogos tahun depan.

Litar Sepang venue perasmian Sukma 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 bakal mencatat sejarah apabila menjadikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sah menjadi venue upacara perasmiannya pada Ogos tahun depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, perkara itu dimuktamadkan menerusi perbincangan menyeluruh di peringkat Sekretariat Sukma 2026 dan SIC dipilih bagi menampilkan konsep berbeza berbanding acara pembukaan temasya edisi lain sebelum ini.

“Kebiasaannya, upacara Sukma hanya berlangsung di stadium dan kita mahu lari daripada konsep klise seperti itu. Kita akan menawarkan tema pembukaan menarik dengan menonjolkan keunikan Selangor sebagai negeri maju dari segi ekonomi, pentadbiran dan penganjuran sukan. Ini kali pertama dalam sejarah pembukaan Sukma dilakukan di litar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana sekretariat itu, mengumumkan perkara itu pada Sesi Jalinan Media bersama Sekretariat Sukma di Setia Alam di sini, hari ini, namun mengakui pihaknya setakat ini belum memuktamadkan venue bagi acara penutupan temasya kali ke-22 berkenaan.

MOHD. NAJWAN

Dalam pada itu, beliau berkata, persiapan pihaknya sebagai penganjur dan tuan rumah kini telah mencapai tahap 40 peratus.

“Kita kini masih dalam proses membaik pulih dan menaik taraf fasiliti sukan sedia ada di Selangor. Tiada fasiliti baharu akan dibina namun kita akan segera membaiki kemudahan asas seperti bilik air dan bilik persalinan,” ujarnya.

Menurut Mohd. Najwan, pihaknya turut merancang untuk menaik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam, Lapang Sasar Menembak Subang, Stadium Kuala Selangor dan Stadium Hoki Pandamaran.

“Semua fasiliti itu termasuk Venue Perahu Layar di Batu Laut (Banting) akan menjadi lokasi acara sukan yang bakal dipertandingkan kelak. Justeru, kita mahu menaik taraf bagi memastikan kelancaran dan tiada masalah timbul kelak,” katanya.

Tambah beliau, kos penganjuran Sukma itu dianggarkan berjumlah RM200 juta dan lebih rendah daripada temasya di Sarawak sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI