TEHRAN – Polis Iran menahan empat ejen perisik Israel, Mossad dalam beberapa operasi yang membawa kepada rampasan sejumlah besar bahan letupan, lapor agensi berita IRNA semalam.
Jurucakap Komando Polis Republik Islam Iran, Sa’eed Montazer al-Mahdi berkata, kedua-dua ejen itu telah dikenal pasti dan ditangkap di Fashafuyeh, daerah Ray County dalam wilayah Tehran.
“Lebih 200 kilogram bahan letupan dan peralatan untuk 23 dron, pelancar serta peralatan lain dirampas daripada kedua-dua mereka,” kata Montazer semalam.
Sebuah trak pikap Nissan turut disita.
Terdahulu pada hari sama, dua lagi ejen Mossad ditangkap di daerah Savojbolagh, wilayah Alborz bersebelahan dengan Tehran.
Kedua-dua suspek ialah anggota Mossad yang beroperasi dari rumah selamat, di mana mereka menghasilkan bom, bahan letupan, perangkap samar dan peralatan elektronik.
Pihak berkuasa berkata, butiran lanjut dan pengakuan daripada tahanan akan disiarkan tidak lama lagi.
Operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menentang ancaman perisikan asing di dalam sempadan Iran. – AGENSI