fbpx
JEJANTAS pejalan kaki di hadapan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang tidak boleh digunakan sehingga kini.

Luahan Pembaca: Segera baiki jejantas bagi kemudahan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAUDARA PENGARANG,

JEJANTAS di hadapan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor yang tidak boleh digunakan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kluang-Kota Tinggi untuk melintasi jalan sejak lebih setahun lalu menimbulkan persoalan orang ramai tentang status keselamatannya sehingga sekarang.

Jejantas yang dibina oleh pihak pemaju ketika pembinaan hospital tersebut dikatakan tidak selamat untuk digunakan kerana terdapat keretakan yang ketara.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada apa-apa perkembangan lanjut mengenai jejantas berkenaan hingga menjejaskan urusan harian orang ramai yang berulang-alik di laluan berkenaan.

Ekoran itu, para pelajar terpaksa menunggu ibu bapa di hadapan sekolah untuk menjemput mereka pulang sehingga menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Kluang-Kota Tinggi itu.

Sebelum ini, sebahagian pelajar akan menyeberangi jalan menggunakan jejantas berkenaan khususnya mereka yang menaiki bas untuk pulang ke rumah masing-masing selepas waktu persekolahan.

Keadaan ini sebenarnya dapat mengurangkan jumlah kenderaan ibu bapa yang menjemput anak-anak mereka di hadapan sekolah berkenaan setiap hari.

Kami amat berharap agar jejantas berkenaan dapat segera dibuka untuk penggunaan umum khususnya kepada pada pelajar demi kepentingan dan keselamatan bersama.
Lebih utama lagi, dengan pembukaan semula penggunaan jejantas itu secara tidak langsung akan memudahkan pelajar melintasi jalan.

Ini sama ada untuk mereka menaiki bas atau kenderaan ibu bapa masing-masing yang menunggu di seberang jalan tersebut.

Oleh sebab itu, saya amat berharap tindakan sewajarnya dapat dilakukan oleh pihak berwajib yang telah diamanahkan untuk memastikan jejantas ini dapat digunakan semula dengan seberapa segera.

Pengguna musykil
Kluang, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN