JELEBU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah memasang perangkap beruang matahari di Kampung Petaseh Hilir, di sini, semalam.
Ini berikutan terdapat aduan kemunculan beruang matahari di perkampungan berkenaan serta Kampung Petasih Hulu yang kedua-duanya berhampiran dengan Hutan Simpan Triang.
Menurut Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri, pemasangan telah dibuat pada petang semalam oleh Pejabat Perhilitan Daerah Jempol dan Perhilitan Daerah Gemas.
“Sebelum ini terdapat aduan berulang di Kampung Petasih Hulu dan kini di Petasih Hilir pula. Jarak dua buah perkampungan ini adalah sekitar lima hingga ke 10 kilometer. Kita syak ini membabitkan beruang yang sama.
“Ini kerana mengikut sesetengah kajian, luas kawasan keliaran bagi beruang jantan sejauh 20 hingga 40 kilometer (km) persegi dan bagi beruang betina pula sekitar tujuh hingga 15 km persegi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE