SEREMBAN – Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di daerah ini parah selepas didakwa dibelasah dua rakan sekelas pada bulan lalu.
Mangsa yang berusia 16 tahun mengalami kecederaan patah tangan kiri selain luka di muka dan mulut selepas dipukul bertubi-tubi oleh dua pelajar ketika guru tiada dalam kelas pada pukul 11 pagi.
Menurut ibunya, Norbaizura Mohd Noor, 40, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu melalui rakan anaknya yang kemudian menghubunginya pada pukul 11.20 pagi.
Katanya, dia dan suaminya kemudian membawa anak mereka ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2 di sini.
Norbaizura berkata, ekoran kejadian itu, anaknya trauma dan enggan kembali ke sekolah.
Disebabkan kejadian itu juga, Norbaizura terpaksa menanggung kos rawatan lebih RM10,000 dan berharap agar anaknya mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Saya mahu pelajar yang membuli anak saya dikenakan tindakan tegas. Pihak sekolah juga harus bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan pihaknya menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
“Suspek telah ditahan untuk siasatan dan kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi. -KOSMO! ONLINE.