KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghasut dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan dalam sebuah ucapan.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
“Selepas meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Sehubungan itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan ini,” katanya.
Hakim Norma menetapkan tarikh untuk tertuduh membela diri selama empat hari bermula pada 26 September ini.
Perbicaraan kes itu bermula pada 22 April tahun lalu dengan pihak pendakwaan memanggil seramai empat saksi untuk memberi keterangan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badiuszaman Ahmad dan Muhammad Amir Hannif Ahijman, manakala peguambela Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Razali, 58, didapati menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu pada pukul 9.30 hingga 11.30 malam, 10 November 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE