JOHOR BAHRU – Usaha seorang pegawai insuran dalam mencari pendapatan lebih bertukar detik sukar apabila dia kehilangan wang simpanan sebanyak RM54,950 selepas terperdaya dengan tawaran bekerja sambilan secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 32 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Khamis lalu.
Katanya, mangsa terlihat iklan tentang pekerjaan tersebut di laman Facebook pada 30 Mei lalu dan menekan pautan disediakan sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa kemudian dijanjikan komisen antara 10 hingga 35 peratus dalam tempoh masa singkat. Mangsa yang tertarik kemudian membuat 16 transaksi kewangan ke dalam 10 akaun bank berbeza antara 30 Mei hingga 3 Jun dengan nilai keseluruhan RM54,950,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Sohaimi, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila hasrat untuk mengeluarkan wang komisen dijanjikan gagal, sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan.
“Siasatan dibuat mendapati enam daripada 10 akaun bank terlibat mempunyai tujuh rekod jenayah bersabit kes penipuan pekerjaan sambilan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE