BESUT – Wang saku RM21 kepada adik perempuan menjadi pemberian terakhir Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang turut terkorban dalam nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.
Sepupu mangsa, Izwan Iskandar Che Sopian, 27, berkata, Fakhrul Arif memberi wang saku itu kepada adik perempuan, Nurul Effa Shahira Rosdi, 16, sebelum arwah menaiki bas terbabit di pekarangan Masjid Hadhari, Jerteh di sini malam tadi.
“Pada mulanya Effa pelik menerima wang belanja tersebut namun selepas menerima berita kemalangan, barulah dia tahu itu kenangan terakhir bersama arwah abangnya (Fakhrul Arif).
“Tambah membuat Effa kini terkilan, wang tunai RM21 pemberian itu telah tercicir tidak lama kemudian,” katanya
ketika ditemui di Kampung Pasir Akar di sini hari ini.
Katanya, sepupunya, Fakhrul Arif menunjukkan perubahan apabila dilihat banyak termenung dan menjadi pendiam sewaktu kali terakhir mereka bertemu pada majlis kenduri di rumah ibu saudara mereka di Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan. – KOSMO! ONLINE