PETALING JAYA – Penyanyi popular Yuna menitipkan kata-kata semangat kepada jaguh muay Thai negara, Johan Ghazali agar tidak berputus asa selepas tewas dalam aksi One Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Menurut Yuna atau nama lengkapnya, Yunalis Mat Zara’ai, 38, kekalahan tersebut tidak seharusnya dijadikan titik pengakhiran untuk Jojo kerana perjalanannya sebagai atlet muay Thai masih jauh.
“Percayalah, benda ini (kecaman) hanya datang mungkin 10 peratus daripada peminat yang ada terlampau banyak masa ekstra di media sosial untuk mengkritik.
“Ramai lagi yang menyokong anda, Jojo. Teruskan usaha dan berjalan ke depan. Buat untuk diri anda dan keluarga. Kami tetap berbangga dengan anda,” tulis Yuna di ruangan komen hantaran terbaharu Instagram terbaharu Jojo.
Menerusi perkongsian sama, penyanyi lagu Crush itu turut memberitahu, walau apa pun kritikan dilontarkan netizen, Jojo harus terus kuat maju ke hadapan.
“Saya harap Jojo dapat bangkit semula lebih kuat dalam perlawanan yang akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam pada ramai mengkritik, rata-rata netizen turut senada dengan Yuna yang berharap Jojo kekal tenang dalam menghadapi tohmahan negatif. – KOSMO! ONLINE