fbpx

Akmal bina semangat juang pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang hafiz diiringi oleh ibu bapanya menerima watikah daripada Zulkifli (tiga dari kiri) selepas Majlis Haflah Takrimiah Akmal Kali ke-6 di Bangi baru-baru ini.

BANGI – Industri pembelajaran agama kini semakin bertambah maju bukan sekadar sekolah pondok, tetapi terarah kepada pembukaan sekolah agama berintegrasi dan swasta yang berjaya mencorakkan ekosistem pendidikan di negara ini seiring pertambahan permintaan daripada pelajar dan ibu bapa.

Setiap institusi tersebut mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri terpulanglah kepada pelajar itu membuat pilihan yang terbaik kerana masing-masing menawarkan hala tuju pendidikan yang terbaik serta berkualiti.

Salah sebuah institusi pengajian agama yang semakin popular adalah Akademi Al-Quran Amalilllah (Akmal) yang beribu pejabat di Terengganu dengan menawarkan sistem pengoperasiannya sangat unik dan berbeza khususnya program pecutan hafiz yang membolehkan pelajar menghafaz al-Quran dalam tempoh singkat.

Ia boleh dicapai melalui persekitaran yang selesa, kemudahan tempat tinggal, bimbingan guru yang tidak akan melibatkan rotan selain belajar dalam kelas berhawa dingin yang hanya me­nempatkan 12 pelajar dalam satu kumpulan serta membimbing pelajar memiliki semangat juang selain membina mentaliti yang positif.

Ketua Pegawai Eksekutif Akmal, Mohd. Saifullah Hussin berkata, pihaknya membina pelajar-pelajar untuk dijadikan model cemerlang dalam al-Quran de­ngan memiliki sahsiah diri yang baik serta menjadi contoh kepada adik-beradik mereka.

“Kami menjadikan mereka sebagai model huffaz yang berjaya tatkala mereka berusia 10 hingga 16 tahun.

“Mereka boleh menjadi hafiz dalam tempoh paling awal selama tiga bulan hingga setahun.

“Selepas itu, pelajar-pelajar ini boleh memasuki sekolah akademik dan berdasarkan rekod kejayaan pelajar Akmal, rata-ratanya pelajar kami berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM kerana mereka sudah memiliki asas semangat juang yang kuat dan te­rus berjaya dalam apa juga bidang yang mereka ceburi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Haflah Takrimiah Akmal Kali ke-6 yang dirasmikan oleh Mantan Menteri Agama dan tokoh agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini baru-baru ini.

Seramai 150 pelajar huffaz diraikan dalam majlis simbolik meraikan kejayaan pelajar Akmal yang mana rata-rata­ mereka telah berjaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh kurang dari setahun termasuk beberapa rekod luar biasa antaranya seorang pelajar yang berjaya hafaz 30 juzuk dalam tempoh hanya dua bulan.

Lebih mengagumkan, terdapat pelajar seawal usia 10 tahun berjaya memperoleh syahadah hafazan sepenuhnya.

Selain itu, ada seorang pelajar yang juga anak istimewa menghidap mild autisme berusia 10 tahun memiliki daya ingatan luar biasa mampu menghafal 42 surah sebelum memasuki Akmal.

Mengulas lanjut, Mohd. Saifullah berkata, Akmal mula beroperasi sejak 2018 dan sehingga kini lebih 500 pelajar telah berjaya menjadi huffaz dan menyasarkan untuk melahirkan sehingga 10,000 huffaz menjelang tahun 2030.

Bagi memenuhi sasaran itu, Akmal yang kini memiliki kira-kira 600 pelajar sedang mengikuti pengajian di sembilan cawangan sedia ada dan mahu menambah tiga lagi rangkaian pada tahun ini termasuk di Pahang dan Pulau Pinang.

Bersandarkan kejayaan Akmal, usahawan yang pernah belajar di Pakistan untuk menghafaz al-Quran itu memberitahu, pihaknya kini telah menerima pertanyaan daripada pengendali dan pengasas sekolah tahfiz untuk menjalin usaha sama bagi meneruskan kelangsungan sekolah berkenaan.

Beliau melihat ini peluang yang mengujakan buat syarikat kerana dapat membantu menjimatkan kos pelaburan memandangkan sekolah tersebut memiliki aset yang terdiri daripada bangunan sekolah.

“Kerjasama ini dapat meneruskan operasi sekolah yang sebelum ini tidak mendapat sambutan baik daripada pelajar, hingga ada yang kosong selama beberapa tahun, jadi dengan perbincangan antara lembaga pengarah, kami berjaya menghidupkan semula sekolah berkenaan dengan kemasukan pelajar-pelajar baharu Akmal.

“Lebih menarik, kami dapat membuka rangkaian baharu di beberapa destinasi strategik bagi memenuhi keperluan ibu bapa dan pelajar,” ujarnya.

Mengulas mengenai bayaran yuran tinggi yang dikenakan kepada pelajar, Mohd. Saifullah berkata, melalui caj RM1,350 sebulan, pihaknya dapat menyediakan keperluan yang mencukupi kepada pelajar, malah dapat memenuhi kos sara hidup yang tinggi bagi para guru.

“Guru kami dibayar dengan gaji yang baik dan mereka juga menerima kenaikan tahunan dan caruman lain.

“Meskipun Akmal bukan dioperasikan semata-mata untuk mengaut keuntungan, tetapi kami berjaya menjana keuntungan setiap tahun.

“Kami tetap catat untung meskipun nilainya kecil yang mana kadar keuntungan pada tahun 2023 adalah sebanyak empat peratus, manakala ia bertambah kepada 14 peratus pada tahun ini,” kata beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI