STUTTGART – Pasukan Perancis berjaya melakar kemenangan ke atas tuan rumah, Jerman pada aksi penentuan tempat ketiga saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dengan keputusan 2-0 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MHPArena itu, skuad Les Bleus membariskan kesebelasan terbaik dengan Kylian Mbappe, Randal Kolo Muani dan Marcus Thuram untuk mengetuai jentera serangan.
Perlawanan antaran kedua-dua pasukan agak seimbang pada awal saingan dengan beberapa keputusan terpaksa ditentukan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
Gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-45 selepas Mbappe menyudahkan hantaran Aurelien Tchouameni untuk meletakkan pasukan pelawat mendahului 1-0.
Ia adalah jaringan ke-50 Mbappe di peringkat antarabangsa dan kini di belakang Olivier Giroud (57 gol) and Thierry Henry (51 gol) sebagai penjaring terbanyak Perancis sepanjang zaman
Bersambung pada babak kedua, Jerman berusaha untuk bangkit apabila turut memiliki beberapa peluang keemasan menerusi Florian Wirtz tetapi percubaannya sekadar menggegarkan palang gol.
Namun, Perancis menggandakan kelebihan apabila Mbappe sekali lagi menjadi duri dalam daging dengan melakukan hantaran tepat kepada Michael Olise yang meledak gol kedua pada minit ke-84.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad Jerman kendalian Julian Nagelsmann gagal melakar kemenangan pada tiga aksi kompetitif terakhir.