PARIS – Coco Gauff membuktikan status sebagai kuasa baharu tenis wanita apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Aryna Sabalenka 6-7 (5/7), 6-2, 6-4 pada aksi final Terbuka Perancis malam tadi.
Kemenangan itu menghadiahkan gelaran Grand Slam kedua buat pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 21 tahun itu selepas terdahulu menjuarai Terbuka AS 2023 dengan menewaskan Sabalenka.
“Kemenangan kali ini lebih sukar daripada yang pertama, sebab saya tak nak puas hati hanya dengan satu kejuaraan,” kata Gauff.
Dalam aksi selama lebih dua jam yang berlangsung dalam keadaan berangin, kedua-dua pemain saling bertukar 12 kali break dalam dua set pertama sebelum Gauff mempamerkan ketenangan di set penentuan.
Sabalenka, pilihan utama kejohanan, bermula agresif dan mendahului dua break pada set pertama tetapi mula kehilangan rentak akibat kesilapan tidak wajar yang memakan dirinya sendiri.
“Saya kerap kali melalui saat gelap ketika kalah di sini tiga tahun lalu. Tapi saya janji pada diri sendiri, saya akan kembali,” kata Gauff yang turut mara ke final Madrid dan Roma sebelum ini. – AGENSI