fbpx

Sains teras jaminan keselamatan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keselamatan makanan bukanlah satu perkara yang dapat dicapai dalam jangka masa yang singkat. - Gambar hiasan

KESELAMATAN makanan bukanlah satu perkara yang dapat dicapai dalam jangka masa yang singkat.

Ia merupakan hasil daripada usaha kolektif yang disokong oleh pendekatan sains, teknologi makmal yang canggih, dasar yang bersandarkan bukti objektif serta penglibatan aktif pelbagai pihak dalam rantaian makanan.

Maka, bersempena sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 yang disambut pada 7 Jun setiap tahun, tema Food Safety: Science in Action telah dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menyerlahkan peranan sains dalam menjamin makanan yang selamat untuk semua.

Sains memainkan peranan yang amat penting dalam teknologi dan penghasilan produk makanan.

Ia membantu inovasi dan meningkatkan kecekapan pemprosesan serta penghasilan produk makanan. Selain itu, sains juga merupakan asas atau bukti saintifik dalam tindakan kawalan keselamatan makanan bagi menangani krisis keselamatan makanan domestik dan global.

Di Malaysia, analisis makanan dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta makmal swasta yang diiktiraf.

Antara analisis yang dijalankan termasuklah bahan cemar, residu racun perosak, mikroorganisma patogen dan lain-lain bahan yang berisiko terhadap kesihatan pengguna.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), bertanggungjawab menyelaras perkhidmatan analisis 15 makmal makanan di seluruh negara, merangkumi 10 Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan serta lima Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.

Rangkaian makmal ini dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi dan kepakaran teknikal bagi memenuhi keperluan perkhidmatan analisis makanan negara.

Melalui keputusan analisis makanan, status keselamatan makanan dapat diketahui. Ia juga dijadikan sebagai asas atau bukti saintifik bagi tindakan kawalan keselamatan makanan termasuk tindakan penguatkuasaan, larangan import di pintu masuk dan membantu melancarkan perdagangan makanan ke seluruh dunia seterusnya melindungi rakyat daripada terdedah kepada risiko keselamatan makanan.

Penubuhan Pusat Keselamatan Makanan Negara atau National Centre for Food Safety (NCFS) pada tahun 2024 pula merupakan satu manifestasi kepada usaha PKKM untuk memperkukuh keselamatan makanan negara. NCFS berperanan sebagai pusat kecemerlangan yang membangunkan standard makanan, menjalankan penilaian risiko, membina pangkalan data keselamatan makanan serta menyumbang kepada penyelidikan dan penggubalan dasar makanan negara.

Ia berfungsi sebagai pusat sinergi antara penyelidik, penggubal dasar dan pihak penguat kuasa dalam menghadapi cabaran keselamatan makanan secara holistik.

Industri makanan dan para peniaga juga memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan. Pembelajaran berterusan kepada amalan keselamatan makanan yang baik perlu dijadikan amalan konsisten.

Ilmu ini perlu sentiasa dipertingkat seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.

Kegagalan mengamalkan pengendalian makanan dengan baik boleh menyebabkan risiko kepada pengguna dan menjejaskan keyakinan terhadap sistem makanan negara.

Selain itu, pengguna juga tidak boleh dikecualikan daripada tanggungjawab ini. Penyebaran maklumat yang tidak sahih berkaitan isu keselamatan makanan boleh mencetuskan panik dan kekeliruan.

Justeru, semakan terhadap fakta saintifik perlu dilakukan terlebih dahulu melalui saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan sebelum sesuatu isu disebarkan, khususnya melalui media sosial.

Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia bukan sekadar satu acara simbolik, sebaliknya ia mengingatkan semua pihak bahawa keselamatan makanan adalah hasil daripada tindakan saintifik yang terancang dan tanggungjawab kolektif.

Kerjasama kerajaan, industri, komuniti saintifik dan pengguna perlu terus diperkukuh agar kita dapat mengekalkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan makanan di negara ini.

Keselamatan makanan adalah asas kepada kesihatan dan kesejahteraan negara. Dengan bersandarkan pengetahuan sains, Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk memastikan makanan kita selamat untuk hari ini dan generasi mendatang.

Selamat Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025: Food Safety: Science in Action.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI