fbpx

Saya bertanggungjawab atas kekalahan ini – Tang Jie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlepas tiket ke pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas terpaksa akur dengan kekalahan kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh- Supissara Paewsampran, sebentar tadi. -AFP

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk menempah tiket ke pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia tidak kesampaian apabila tumpas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, sebentar tadi.

Pada aksi separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta tersebut, Tang Jie-Ee Wei bermula dengan garang apabila terlebih dahulu mencipta kemenangan pada set pertama, namun gandingan ranking No. 4 dunia itu gagal mengekalkan momentum cemerlang sebelum tewas 23-21, 15-21, 11-21 dalam pertarungan selama 65 minit.

Pasangan negara sepatutnya mampu menamatkan perlawanan lebih awal selepas mempamerkan aksi cemerlang untuk memenangi set pertama yang penuh dramatik.

Namun, beberapa siri kesilapan mudah yang dilakukan pada set kedua membuka ruang kepada pasangan Thailand itu untuk bangkit, seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Momentum jelas memihak kepada gandingan Thailand tersebut pada set ketiga, di mana mereka terus menguasai permainan dan meninggalkan Tang Jie-Ee Wei jauh di belakang untuk mengesahkan kemenangan.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Tang Jie secara terbuka mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan itu, mengakui beliau banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya, terutamanya ketika berada di hadapan jaring.

“Saya hanya cuba untuk mencari peluang menyerang, tetapi apabila saya mara ke jaring, saya rasa saya melakukan banyak kesilapan yang tidak sepatutnya. Itulah yang membawa kepada kekalahan hari ini.

“Mereka beraksi lebih baik dari kami, tetapi saya mengambil tanggungjawab hari ini,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.

Menurut Ee Wei, mereka gagal merebut peluang pada saat-saat genting, terutama pada set kedua perlawanan.

“Kami beraksi dengan baik pada set pertama, tetapi pada set kedua, apabila mata menjadi sengit, kami tidak berjaya merebutnya,” jelas Ee Wei.

Selepas ini, Tang Jie-Ee Wei akan berehat seketika sebelum dijangka kembali ke gelanggang pada Terbuka Jepun yang bakal berlangsung 15-20 Julai ini.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI