BEKAS pengendali pasukan Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui, beliau tidak pernah patah semangat, malah masih menaruh harapan besar dapat memimpin mana-mana kelab pada aksi Liga Super musim depan.
Menurut legenda Kedah itu, sudah hampir dua bulan dia berehat setelah ditamatkan kontrak sebagai ketua jurulatih bagi skuad B-23 Penang FC pada 30 April lalu.
Namun, tempoh itu juga dianggap terlalu panjang untuknya menantikan sebarang perkhabaran positif.
“Ya…sehingga hari ini saya belum menerima tawaran dari mana-mana pasukan Liga Super atau Liga A1 sebagai jurulatih atau pengarah teknikal.
“Saya masih menganggur. Bola sepak memang pendapatan utama saya untuk menyara enam orang anak termasuk ada yang masih bersekolah rendah, menengah dan di universiti.
“Bola sepak juga sudah sebati dalam diri yang mana saya mula aktif sejak dibangku sekolah lagi dan tamat beraksi pada tahun 2014 sebelum menceburi bidang kejurulatihan,” katanya kepada Kosmo!
Jelas Akmal, besar harapannya agar masih ada pasukan yang menaruh kepercayaan dan pengalaman daripadanya dalam membentuk pasukan Liga Super musim depan.
Untuk rekod, Akmal mula menyertai pasukan Penang FC pada tahun 2020 dan ketika itu dia dilantik sebagai pengemudi bagi skuad Piala Presiden musim 2022 sebelum diberi tanggungjawab besar menggalas skuad Harimau Kumbang pada aksi Liga Super 2024/2025.
Bagaimanapun, peranannya untuk mengetuai skuad utama itu tidak lama dan dia sekali lagi diberi kepercayaan sebagai pengemudi skuad Penang FC II, ekoran prestasi pasukan yang ketika itu tidak begitu memberangsangkan. – KOSMO! ONLINE