PETALING JAYA – Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi DUsuki mendedahkan, beliau terserempak dengan seorang bekas pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Pandan yang bekerja di Doha, Qatar dengan gaji boleh mencecah RM20,000 sebulan.
Jelas beliau di Facebook, graduan yang dikenali sebagai Ibrahim itu, merupakan bekas pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Sijil Teknologi Fabrikasi dan bekerja dengan Qatar Airways di Doha sebagai mekanik membaiki badan kapal terbang
“Saya disapa seorang anak muda ketika dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Doha. Ketika ditanya berapa bayaran bekerja di sana, dia kata dalam RM17,000 ke RM20,000.
“Wow! Hebat anak muda berasal dari Merlimau Melaka yang bernama Ibrahim ini. Menurut Ibrahim, semua batch dia lepasan IKM Kuala Lumpur dapat pekerjaan bergaji serupa dalam bidang sama dengannya. Dia amat berbangga menjadi anak Mara.
“Siapa kata lulusan TVET tidak boleh berjaya? Bidang kemahiran dan vokasional yang ditawarkan oleh Mara sama ada di GiatMara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII) mahupun di peringkat tertinggi seperti UniKL dan GMI terbukti mampu melahirkan ramai tenaga kerja mahir bukan sahaja untuk negara bahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Jelas Asyraf, inilah yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Malaysia apabila menggagaskan Dasar TVET Negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir bergaji premium.
“Ibrahim satu contoh bagaimana hanya dengan sijil kompetensi dan profesional bidang TVET boleh mendapat kerja bergaji besar hingga diiktiraf di peringkat antarabangsa. Hanya dengan ilmu boleh merubah kehidupan.
“Mara Terus Mendunia!” tulisnya lagi. – KOSMO! ONLINE