STUTTGART – Bintang remaja Sepanyol, Lamine Yamal mengesahkan status antara pencabar gelaran Ballon d’Or tahun ini selepas membantu pasukan mara ke final Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dengan menewaskan Perancis 5-4 awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Yamal berjaya menjaringkan dua gol dengan tiga lagi jaringan dilakukan oleh Nico Williams, Mikel Merino dan Pedri untuk memastikan La Roja bertemu dengan Portugal dalam pentas final awal pagi Isnin nanti.
Yamal yang baru berusia 18 tahun mengakui sangat bermotivasi untuk membuktikan keupayaan di atas padang apabila bertemu dengan seorang lagi calon penerima Ballon d’Or, Ousmane Dembele yang mewakili skuad Les Bleus.
“Saya sentiasa beritahu ibu saya apa yang menyuntik semangat saya untuk bermain bola sepak sehingga kini (Ballon d’Or). Apa yang pasti, saya tidak mahu berkata lebih sebaliknya buktikan sendiri di atas padang.
“Dembele adalah pemain yang bagus begitu juga dengan pasukan Perancis yang memberi tekanan hingga penghujung perlawanan. Namun, kami yang akhirnya berjaya ke pentas final,” katanya.
Sementara itu, pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente percaya Yamal pemain paling layak untuk diiktiraf sebagai bintang bola sepak terbaik di dunia sekali gus menerima Ballon d’Or tahun ini.
“Ini adalah petunjuk prestasi yang jelas daripada Yamal bahawa dia layak untuk diberi Ballon d’Or. Kedua-dua pasukan terbaik di dunia bertemu tetapi kita dapat menjaringkan lima gol ke atas merekan dan itu sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Yamal akan pemain paling muda dalam sejarah sekiranya menang Ballon d’Or tahun ini sekali gus pecahkan rekod penyerang Brazil, Ronaldo yang menang pada edisi 1997 ketika berusia 21 tahun. – AGENSI