ALOR SETAR – Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tiga remaja semalam dipercayai menghentikan keretanya di laluan kecemasan untuk menukar pemandu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia 43 tahun itu akan dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini selepas diambil keterangan berhubung kejadian melibatkan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra.
“Pemandu tersebut ditahan sejak semalam dan hari ini kita akan bagi jaminan setelah siasatan selesai. Siasatan awal mendapati pemandu itu menghentikan kenderaannya di laluan kecemasan itu untuk menukar pemandu dengan penumpang yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu dan meminta saksi yang melihat kejadian tampil memberi maklumat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberikan maklumat di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321222 atau 013-9964614,” ujarnya.
Akhbar ini semalam melaporkan, mangsa yang maut merupakan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, iaitu Muhammad Arif Aifan Derani, Muhammad Fahmi Jamel dan Muhammad Habil Mohd Sobri, kesemuanya berumur 19 tahun.
Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Adib Aiman bin Mohd Hasani, masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan.
Kejadian berlaku di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah Alor Setar ke selatan, semalam pada pukul 2.10 petang. – KOSMO! ONLINE