PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) sedia menghulurkan ‘bantuan’ kepada Manchester United yang terdesak memburu khidmat penyerang untuk menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan mereka.
United menamakan Liam Delap sebagai pemain buruan, namun penyerang Ipswich Town itu memilih menyertai Chelsea menyebabkan mereka mengalihkan tumpuan terhadap Viktor Gyokeres, Benjamin Sesko dan Hugo Ekitike.
Situasi itu menyebabkan PSG tidak keberatan melepaskan khidmat penyerang mereka, Goncalo Ramos ke Old Trafford sekiranya mendapat tawaran munasabah ketika mereka mendapatkan khidmat pemain itu pada harga £60 juta (RM344.87 juta) dari Benfica pada 2023.
United sebelum ini turut bersaing untuk mendapatkan Ramos sebelum tewas kepada PSG dan ketika itu, Bruno Fernandes menjadi individu di Old Trafford yang kuat menyokong cadangan untuk mendapatkan rakan senegaranya.
Ramos berjaya meledak 14 gol pada musim pertamanya di Paris sebelum meledak 18 gol musim lalu ketika PSG menjulang gelaran trebel termasuk merangkul gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama.
Biarpun memiliki rekod jaringan yang cukup baik di Parc des Princes, Ramos terdesak untuk mendapatkan minit permainan yang lebih ketika dia bukan pilihan utama mengetuai jentera serangan skuad kendalian Luis Enrique. – AGENSI