PETALING JAYA – Sebuah keluarga tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan ketika bercuti ke Langkawi baru-baru ini apabila keadaan rumah tidak seperti yang diiklankan.
Menerusi video yang dimuat naik @mira.advisor di akaun TikToknya, kejadian berlaku ketika mereka yang terdiri daripada 13 dewasa dan kanak-kanak ingin ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Pada mulanya, wanita itu berkata sepatutnya mereka menginap di rumah lain, akan tetapi ditukar oleh pemilik sehari sebelum tarikh masuk.
Namun ketika tiba di inap desa kedua, alangkah terkejutnya keluarga itu apabila melihat keadaan rumah yang usang, menyeramkan serta langsung tidak terjaga.
Lebih teruk lagi, air kolam yang berada di tengah rumah tersebut berada dalam keadaan sangat kotor sehingga ada bangkai katak yang tidak dibersihkan.
Ia mengejutkan pengguna tersebut kerana gambar yang diiklankan sungguh berbeza dengan apa yang dilihat depan mata.
“Masa ‘booking’ (tempah) gambar lawa, dah sampai lain pula cerita. Dah sampai ‘homestay’ and nak ‘check in’, tengok persekitaran memang tak selamat.. tak
bersih dan seram.
“Sehari sebelum pemilik ada beritahu ada biawak mati dalam rumah dia.. Jadi bila berbincang, dia setuju bagi rumah pintu yang lain.. Tapi bila dah sampai, pemilik kata tak sempat kemas rumah yang dijanjikan,” katanya.
Ujarnya, meskipun pemilik bersetuju untuk memulangkan semula duit sepenuhnya namun mereka sekeluarga berdepan dengan kesusahan kerana perlu mencari rumah inap desa yang lain.
“Dah sampai sana weh, ‘homestay’ pula memang tak selamat diduduki.. telefon sana sini dan alhamdulillah dapat ‘homestay’ baru lebih dekat dengan lapangan terbang dan banyak bilik.
“Tak tahu nak dikategorikan sebagai ‘scam’ atau tak sebab pemilik pulangkan duit sepenuhnya.. Cuma mmg huru hara hari pertama kami,” tulisnya lagi.
Kelihatan di dalam video itu, dapur inap desa terbabit dalam keadaan tidak terjaga dengan bumbung rosak serta ada pokok menjalar masuk ke bahagian penyimpanan kuali.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 1.2 juta tontonan, 14,100 tanda suka dan 2,283 perkongsian.
Sementara itu, seorang lelaki yang dipercayai merupakan anak kepada pemilik inap desa tersebut tampil di ruangan komen memohon maaf kepada wanita itu.
Katanya, keadaan rumah itu adalah kesan daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika Covid-19 membuatkan sukar untuk mengekalkan kebersihan seperti sebelum ini.
“Saya sebagai anak kepada pemilik tempat ini sangat memohon maaf diatas kesulitan yang berlaku. Ini semua sebab PKP yang terlalu lama menyebabkan kesukaran untuk menjaga ‘maintenance’ tempat ini secara rutin,” komen lelaki tersebut.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ada juga pengguna lain senasib dengan wanita ini apabila ditipu oleh pemilik mengiklankan gambar lama di inap desa yang sama.
“Saya pernah menginap pada tahun 2018. Keadaan masa tu lebih kurang sama juga. Kawasan dapur memang semak samun menjalar. Kolam masa tu pun kotor juga, banyak daun kering,” komen Miss Bee.
“Aku dah kena dah dengan ‘homestay’ yang sama. Masa LIMA’25 tu juga. Pagi-pagi dah mencari penyapu dengan mop,” komen Sasha. – KOSMO! ONLINE
@mira.advisorMasa booking gambar lawa, dah sampai lain pula story 😆 Dugaan ke LIMA 2025 beramai ramai dalam 13 orang dewasa dan kanak2. Dah sampai homestay and nak check in, tgk persekitaran mmg tak selamat.. tak bersih dan sheram. Sehari sebelum owner ada call bagitahu ada biawak mati dlm rumah dia.. so bila berbincang, dia setuju bagi rumah pintu yg lain.. tp bila dh smpai, Owner homestay bagitahu tak sempat kemas rumah yg dijanjikan tu and agreed utk refund sepenuhnya.. Dah sampai sana weh, homestay pula mmg tak selamat diduduki.. telefon sana sini dan alhamdulillah dpt homestay baru yg lebih dekat dgn airport dan byk bilik.. terima kasih sgt kt yang membantu kami.. rumah cantik sgt! Tak tahu nk dikategorikan sebagai scam atau tak sbb owner refund.. cuma mmg huru hara hari pertama kami.. saje share dgn semua sebagai kenangan, takde niat nk post owner tu pun ☺️ Tahun 2027, kami akan booking setahun awal okeh 😜