SEORANG artis boleh menggunakan populariti mereka menjadi pempengaruh tetapi bolehkah seseorang pempengaruh atau lebih dikenali ‘influencer’ bertukar menjadi selebriti?
Perkara tersebut sering kali menjadi perdebatan lebih-lebih lagi individu yang bergelar artis dan pempengaruh.
Bagi pihak artis, ada yang tidak bersetuju pempengaruh terlibat dalam bidang seni kerana menganggap mereka ‘kosong’ atau tidak mempunyai pengetahuan mengenai dunia hiburan.
Namun, daripada pihak pempengaruh, mereka melihat itu adalah tidak salah untuk terlibat dalam bidang lakonan kerana rezeki itu luas.
Pelakon dan pempengaruh Norreen Iman berkata, peluang menjadi artis perlu digunakan sebaik mungkin untuk kekal relevan sebagai seorang pempengaruh.
“Saya suka jadi artis dan pempengaruh kerana apabila menjadi pempengaruh, mereka perlu kekal relevan, pecah otak berfikir bagaimana mahu bagi orang nampak. Pempengaruh juga dibayar berdasarkan video.
“Jadi artis pula, muka saya akan disiarkan di televisyen. Pendedahan lebih besar dan apabila dikenali saya dapat naikkan kadar bayaran sebagai pempengaruh.
“Tidak cakap jadi artis tidak seronok atau pempengaruh tidak bagus, kalau boleh ‘beraksi’ dua-dua memang seronok,” katanya.
Pada masa sama, wanita berusia 31 tahun itu berpendapat bahawa seseorang pempengaruh yang ingin berkecimpung dalam industri lakonan perlu banyak belajar untuk membentuk diri sebagai selebriti.
“Pendapat saya kalau pempengaruh diberi peluang jadi artis, harus belajar macam mana nak jadi selebriti.
“Saya faham pempengaruh ada kelapangan waktu banyak. Belajarlah cara kehidupan artis sebab dari segi disiplin memang berbeza dengan pempengaruh.
“Kadang kala orang ambil pempengaruh untuk naikkan ‘rating’ cerita tetapi pempengaruh perlu pergi kelas lakonan, jaga masa bekerja dan disiplin dengan jadual penggambaran,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon drama Jangan Ganggu Jodohku itu menitipkan pesanan kepada golongan belia terutamanya pelajar sekolah bahawa kehidupan sebagai seorang pempengaruh bukan sesuatu yang mudah.
“Kepada sesiapa terutamanya budak sekolah, tidak mahu belajar dan ambil Sijil Pelajaran Malaysia, bukan senang jadi pempengaruh. Mudah kalau ikut benda tular, 100,000 pengikut boleh dapat dalam masa dua minggu.
“Nak kekal relevan yang bukan senang. Kita muat naik apa-apa dalam media sosial, kita sendiri izinkan orang berkata-kata. Kecaman ini ‘bad marketing is a good marketing’.
“Tetapi tidak selama-lamanya nak buat pemasaran buruk. Kadang-kadang peluang pekerjaan kurang.
“Memang akan dapat populariti tetapi dari sudut tawaran kerja kurang sebab sesebuah penjenamaan nak jaga nama baik. Tidak mungkin ambil orang tular dengan perkara tak baik,” jelasnya.














