KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan tentang kehilangan lelaki warga British ketika melakukan aktiviti mengembara secara berseorangan di ibu negara sejak 27 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa, semalam.
Jelasnya, lelaki berusia 25 tahun itu dikenali sebagai Jordan Johnson-Doyle berasal dari United Kingdom.
“Seramai dua skasi telah dirakam percakapan dan siasatan terperinci sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Pantai, Asisten Superintendan Khairul Nizam Ramle di talian 013-7000672.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Jordan kali terakhir dikesan ketika berada di sebuah premis hiburan di Bangsar pada 27 Mei lalu.
Menurut laporan akhbar Britain, Daily Mail,, kali terakhir berkomunikasi dengan ahli keluarganya pada 27 Mei lalu apabila dia menghantar gambar poster aktiviti acara kuiz yang dianjurkan oleh pusat hiburan kepada rakannya sekitar pukul 8 malam.
Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang. – KOSMO! ONLINE