JAKARTA – Seorang lelaki dari Kolaka Utara, wilayah Sulawesi Tenggara menikam kekasih gelap isterinya sejurus menangkap mereka berdua-duaan di dalam kereta, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku pada Khamis lalu sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan).
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Kolaka, Timbalan Inspektor Polis Ahmad Saiful, suspek dikenali sebagai MA, 40, menikam S, 38.
Katanya, suspek pada awalnya mencari isterinya yang tidak berada di rumah.
“Dia kemudian menemukan motosikal isterinya diparkir di hadapan rumah jiran.
“Ketika ditanya, jiran tersebut memberitahu bahawa isteri suspek menaiki sebuah kereta,” kata Ahmad Saiful.
Tambahnya, suspek akhirnya menemukan isterinya di dalam kereta yang diparkir di tepi pantai, dalam keadaan berdua-duaan dengan mangsa.
“Suspek dengan segera membuka pintu kereta lalu menikam mangsa pada bahagian perut,” jelas Ahmad Saiful.
Suspek menyerah diri kepada polis dengan membawa bahan bukti iaitu senjata yang digunakan untuk menikam mangsa. – AGENSI