REMBAU – Lapan sekeluarga di Kampung Chembong Kecil di sini, kini hidup dalam kebimbangan susulan kejadian runtuhan tanah dan batu yang berlaku di belakang rumah mereka sejak dua minggu lalu.
Basri Ibrahim, 43, berkata, kejadian tanah runtuh tersebut berlaku ketika cuaca hujan lebat sehingga menyebabkan runtuhan kecil melibatkan batu di tebing bukit.
Katanya, apa yang merisaukan apabila keluarganya tidak mempunyai pilihan untuk berpindah kerana tidak mempunyai tanah serta rumah lain untuk diduduki.
“Apa yang saya bimbang ialah keadaan di tebing bukit yang semakin terhakis. Batu yang jatuh itu betul-betul berhampiran bilik anak ketiga.
“Disebabkan tanah runtuh ini, saya terpaksa membiarkan pokok-pokok renek serta semak tumbuh membesar bagi menguatkan lagi tebing,” katanya ketika ditemui di Kampung Chembong Kecil, di sini, baru-baru ini.
Ujar Basri, selain dia, rumah tersebut turut dihuni isteri, tiga anak, seorang menantu dan cucu serta adik lelakinya yang bekerja kampung.
Menurutnya, dia amat berharap agar kerja-kerja pembaikan tebing bukit dapat dilaksanakan memandangkan mereka sendiri tidak mempunyai sumber kewangan yang besar untuk membaik-pulih struktur tebing tersebut.
“Pihak pejabat daerah ada turun meninjau masalah ini, namun saya tidak pasti apa keputusan yang akan mereka buat,” katanya.















