JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin memiliki misi tersendiri pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan berlangsung di Bangkok dari 9 hingga 20 Disember depan.
Meskipun sudah memiliki enam pingat emas di temasya terbesar Asia Tenggara itu, namun dia masih belum mampu untuk meleburkan rekod temasya 59.50 meter (m) yang dilakukan atlet Singapura, Wong Tuck Yim pada 1999.
Jurulatih balingan kebangsaan, Frank Petrovic seolah-olah melontarkan cabaran buat anak buahnya itu apabila mengharapkan Irfan bukan sahaja memenangi pingat emas di Bangkok, malah turut memecahkan rekod temasya.
“Masih ada perkara yang perlu ditewaskan dan ia bukan sekadar untuk menang (pingat emas). Tahun ini kita meletakkan sasaran supaya (Irfan) memenangi pingat emas dan juga rekod Sukan SEA,” kata pengendali dari Slovakia itu.
Nama Irfan sudah tidak asing lagi dalam saingan Sukan SEA apabila memenangi pingat emas enam kali berturut-turut sejak edisi 2013 di Naypyidaw, Myanmar sehingga edisi terakhir di Kemboja dua tahun lalu.
Bagaimanapun, dia masih belum mampu untuk meleburkan rekod temasya 59.50m apabila balingan terbaik yang pernah dilakukan sepanjang enam edisi disertai adalah 58.36m ketika penganjuran di Kuala Lumpur pada 2017.
Berdasarkan prestasi semasa selain rekod kebangsaan 62.55m miliknya, peluang Irfan dilihat cerah untuk merealisasikan hasrat Petrovic yang mahu melihatnya menjadi pemilik baharu rekod Sukan SEA.
Sementara itu, Irfan menganggap Sukan SEA hanya sebagai platform untuk dia melakukan persediaan bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun tahun depan.
“Saya mahu lebih daripada sekadar emas (Sukan SEA). Saya tidak pernah menang (pingat) di Sukan Asia walaupun sudah ada tiga pingat ATC (Kejohanan Olahraga Asia),” katanya yang meraih gangsa pada ATC 2025 di Gumi, Korea Selatan dengan catatan 58.82m.