fbpx

Jersi Inter dikritik seperti beg plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Inter kelihatan kecewa dan sugul selepas dibelasah 0-5 oleh PSG pada aksi final semalam. - AFP

MILAN – Inter Milan dilabel sebagai ‘beg plastik’ selepas gergasi Itali itu gagal menghadirkan cabaran kepada Paris Saint-Germain pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Allianz Arena, Munich semalam.

Sejak melatih Inter, Simone Inzaghi berjaya membawa kelab muncul naib juara UCL sebanyak dua kali dalam tiga edisi terakhir dan ketua jurulatih itu pastinya menjadi individu paling terkesan dengan kekalahan kali ini.

Malah ketika sidang media selepas perlawanan, Inzaghi ‘diserang’ dengan soalan panas termasuk mempertikaikan keputusan kelab menggunakan jersi berwarna kuning yang dilabel mirip plastik membeli-belah.

“Inter bermain dengan jersi kuning seperti beg beli belah. Kami (Inter) tidak memiliki ramai pemain tetapi dapat bertahan hingga mara ke perlawanan akhir.

“Begitu jugalah untuk gambarkan daya tahan pasukan, namun ia pecah di perlawanan akhir hingga barangan yang ada dalam beg berkenaan jatuh ke tanah,” merujuk kepada perumpamaan yang dikemukakan wartawan kepada Inzaghi selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun, pengurusan pasukan kekal gembira dengan apa yang dibawa oleh Inzaghi dan mahu mengekalkan khidmatnya walaupun timbul spekulasi beliau akan berpindah ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

“Kami akan bertemu dengannya untuk mendengar sendiri apa yang mahu dikatakan. Kekalahan ini tidak beri impak, kredit perlu diberikan kepadanya dan jika dia mahu terus kekal, sudah pasti kami gembira,” kata Presiden Inter, Giuseppe Marotta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI