MELAKA – Seorang pembantu kedai makan direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap adik perempuan rakannya berusia sembilan tahun, Sabtu lalu.
Perintah reman sehingga 8 Jun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Asyikin Rosli terhadap suspek berusia 21 tahun terbabit.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak polis mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Menurut sumber, kejadian terbongkar apabila mangsa mengadu mengenai perbuatan suspek kepada ibunya yang berusia 40 tahun.
“Kejadian dikatakan berlaku ketika suspek datang ke rumah mangsa di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh untuk melepak bersama abangnya berusia 16 tahun kira-kira pukul 8 malam.
“Pada pukul 9.30 malam, ibu mangsa telah keluar untuk ke pasar malam sebelum abangnya juga keluar dan kanak-kanak tersebut ditinggalkan berdua bersama suspek,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ujarnya, suspek kemudian didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh bagi tujuan seksual terhadap mangsa ketika mereka duduk berdua di ruang tamu rumah berkenaan.
“Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya pada pukul 6.30 pagi semalam dan wanita terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada hari sama.
“Pol. 59 telah dikeluarkan kepada mangsa yang masih menjalani rawatan di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE