PETALING JAYA – Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar penjawat awam menjunjung prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara dengan melaksanakan tugas secara jujur, amanah serta bebas daripada pengaruh politik.
Titah baginda, pegawai kerajaan yang berkhidmat perlu memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan dan bukan atas arahan sesiapa.
“Pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik,” titah baginda.
Baginda juga mengingatkan semua agensi penguat kuasa agar tegas dan berintegriti dalam menjalankan amanah bagi memelihara kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan. -KOSMO! ONLINE.