SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa beliau tidak melobi untuk menyertai Kabinet Persekutuan, susulan peletakan jawatan dua menteri PKR baru-baru ini.
Aminuddin, yang juga Naib Presiden PKR, menyatakan keputusan pelantikan anggota Jemaah Menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga presiden parti.
“Saya tidak melobi apa-apa jawatan pun dan saya rasa serah kepada Perdana Menteri dalam menentukan. Nama saya pun tiada, jangan risau…,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) di Paroi di sini, semalam.
Aminuddin berkata demikian mengulas spekulasi kemungkinan menyertai jemaah menteri selepas Datuk Seri Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) yang meletakkan jawatan pada 28 Mei lalu.
Kenyataan itu sekaligus meredakan desas-desus yang mengaitkan namanya sebagai antara calon menteri dalam rombakan kabinet yang mungkin berlaku dalam masa terdekat.-KOSMO! ONLINE