JAKARTA – Penduduk Medan, wilayah Sumatera Utara digemparkan dengan fenomena hujan ais yang melanda bumbung dan halaman rumah mereka, lapor portal berita Detik semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 (waktu tempatan) dan disertai hujan lebat serta angin kencang.
Rakaman kejadian dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @medanmediainfo menunjukkan seorang wanita mengutip beberapa ketulan ais yang jatuh mengenai bumbung rumahnya.
Jurucakap Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) I Medan, Fauziah Fitri Damanik tampil menjelaskan bahawa fenomena itu tercetus akibat cuaca yang tidak menentu.
“Fenomena hujan ais kerap terjadi semasa peralihan musim. Ia dicetuskan oleh pola perolakan di atmosfera pada skala lokal-regional yang signifikan,” kata Fauziah. – AGENSI