SELEPAS KRU, kini giliran kumpulan Inteam pula mencetuskan fenomena sendiri.
Mana tidaknya, sejak mengumumkan bakal mengadakan Konsert Kasih Kekasih, peminat yang mungkin selama in i tidak pedulikan Inteam pun mula buat perkara aneh tetapi lucu!
Berperang beli tiket konsert nasyid, parodi Toyota Avanza hijau dan ‘lightstick’ kayu sugi antara konten yang sehingga hari ini masih rancak membanjiri media sosial.
Rata-rata mengakui tidak sabar untuk berhibur di konsert kumpulan nasyid yang dianggotai Mohd. Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman itu.
Kata mereka, lagu-lagu Inteam antara yang menemani zaman persekolahan mereka terutama sekolah berasrama.
“Tolonglah jangan hentikan Inteam ‘core’ dalam TikTok. Sumpah terhibur dengan perangai masing-masing.
“Sakit perut gelak tengok ada yang dah mulakan perjalanan naik Avanza hijau ke konsert Inteam. Berbulan-bulan perjalanan!
“Paling lucu ada yang nak jual kereta dan sewa Avanza hijau serta Unser. Mungkin akan laku keras nanti,” komen netizen.