PENYOKONG setia Arsenal tidak perlu bermasam muka jika diperli oleh rakan-rakan dengan gelaran ‘bottlers’ yang sering diungkapkan kerana sekali lagi gagal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas menjuarai trofi emas pada edisi 2003/04 dengan gelaran invincibles tanpa sebarang kekalahan sepanjang 38 perlawanan liga, hatrik naib juara tiga musim berturut-turut ketika ini menjadi pencapaian paling hampir buat Arsenal.
Mungkin tidak ramai tahu sebenarnya Arsenal pernah meraih No. 2 sebanyak tiga kali pada 1998/99, 1999/00 dan 2000/01 sebelum menjadi juara pada musim keempat, 2001/02.
Jadi tidak mustahil Arsenal mampu menamatkan penantian 21 tahun untuk mendakap trofi EPL pada musim depan sekali gus menghapuskan ungkapan ‘Netflix FC’ yang dilemparkan terhadap kelab itu kerana sentiasa menanti musim baharu.
Ia mungkin terjadi dengan syarat Arsenal membeli penyerang yang boleh menjaringkan lebih 20 gol semusim.
Ini bermakna Mikel Arteta dan Pengarah Sukan Arsenal, Andrea Berta perlu memastikan penggempur bakal dibeli benar-benar boleh menjadi ‘mesin gol’, bukannya sekadar ‘tangkap muat’ memuaskan hati penyokong.
Dua nama ketika ini hangat diperkatakan menjadi pilihan iaitu penyerang Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres dan Benjamin Sesko dari RB Leipzig.
Berdasarkan statistik musim ini, Gyokeres sudah tentu menjadi calon terbaik disebabkan jumlah jaringan yang menakjubkan iaitu 39 gol daripada 33 aksi liga berbanding Sesko hanya 13 gol Bundesliga.
Dua musim kebelakangan ini juga menyaksikan Gyokeres, 26, berjaya menyumbat 97 gol di Sporting, manakala Sesko yang berusia 21 tahun cuma menjaringkan 39 gol bersama Leipzig.
Namun, profil permainan Sesko sebenarnya dilihat lebih sesuai dengan corak yang diterapkan oleh Arteta berbanding Gyokeres yang dibimbangi peminat seandainya berkesudahan ‘flop’ seperti Rasmus Hojlund di Manchester United.
Cara terbaik adalah Arsenal perlu mengambil risiko membeli kedua-dua penyerang itu dengan tambahan beberapa posisi lain antaranya sayap kiri selain kehadiran Martin Zubimendi di bahagian tengah bertahan.
Kehadiran Gyokeres dan Sesko secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah ketumpulan penyudah Arsenal yang sememangnya begitu ketara apabila menentang pasukan ‘low block’ seperti terjadi sepanjang musim ini.
Sesko mampu memberikan nafas baharu kepada sayap kiri Arsenal dengan percubaan luar kotak penalti berbanding Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard.
Beberapa nama lain turut berada dalam radar seperti bintang AC Milan, Rafael Leao dan penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez, namun kedua-duanya dijangka sukar kerana yuran perpindahan yang tinggi.
Jadi lebih baik Arsenal menggunakan dana yang ada dengan membeli Gyokeres dan Sesko sekali gus boleh mewujudkan kembali gandingan Dennis Bergkamp serta Thierry Henry.














