KUANTAN – Kekerapan berlakunya kes kemalangan sejak kebelakangan ini perlu diambil serius oleh pihak berwajib termasuk melihat semula aspek pendakwaan dan perundangan khususnya melibatkan Seksyen 41 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Law Teik Hua berkata, seksyen itu perlu dikemas kini bagi menangani cabaran dan realiti lalu lintas moden termasuk dari sudut teknologi, penguatkuasaan dan pendidikan pemandu.
Katanya, meskipun akta tersebut masih relevan, penyesuaian kepada realiti semasa perlu dilakukan bagi memastikan ia konsisten dalam proses pendakwaan.
“Teknologi kereta dan trafik berubah, tetapi undang-undang ini masih berteraskan pemanduan manual sepenuhnya yang perlu penambahbaikan dari beberapa aspek.
“Antaranya tiada perincian jelas berkaitan teknologi moden seperti tidak menyentuh isu penggunaan telefon bimbit semasa memandu, pemanduan kenderaan autonomi (self-driving), atau gangguan sistem pemanduan seperti ADAS (advanced driver assistance systems).
“Jadi kena masukkan elemen digital dan teknologi baharu kerana undang-undang harus mengiktiraf cabaran pemanduan dengan kehadiran alat navigasi, kamera papan pemuka (dashcam), sistem ADAS, dan kenderaan elektrik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Untuk rekod, Seksyen 41 (1) APJ 1987 merujuk kepada siasatan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan maksimum RM50,000.
Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.
Menurut Teik Hua, penegasan terhadap pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol juga perlu memandangkan banyak kes berkaitan dadah sintetik baharu tidak dinyatakan jelas dalam akta asal.
Menurutnya, Seksyen 41 dan 42 APJ masih menangani kesalahan jalan raya serius dengan menyasarkan pemanduan melulu, berlumba haram dan pemanduan membahayakan yang mana isu itu masih kerap berlaku di Malaysia, termasuk kes-kes kemalangan maut.
Malah, hukuman sudah dipinda pada 2020 menyaksikan pindaan terkini menambah hukuman penjara dan denda yang lebih berat.
“Undang-undang ini baik di atas kertas, tetapi penguatkuasaan yang tidak menyeluruh dan kadar sabitan rendah menjadikan ia kurang berkesan sebagai pencegah,”katanya.
Dalam pada itu, Teik Hua berkata, tafsiran dalam seksyen berkenaan juga seharusnya lebih jelas dan tidak terhad kepada tafsiran pegawai penguat kuasa semata-mata.
“Frasa seperti ‘melulu’ dan ‘membahayakan’ memberikan ruang kepada mahkamah untuk menilai kes berdasarkan situasi sebenar.
“Tiada penanda aras kelajuan atau tindakan spesifik yang dikategorikan sebagai ‘melulu’ menyebabkan ia kurang konsisten dalam pendakwaan,” katanya.













