fbpx

Warga emas rugi RM1.47 juta ditipu pelaburan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun berputih mata apabila wang berjumlah RM1,470,734 lesap gara-gara terpedaya sindiket pelaburan perniagaan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa yang merupakan pengarah syarikat itu tertipu untuk membuat pelaburan tersebut setelah dihubungi seorang wanita pada 15 April lalu.

Katanya, suspek yang tidak dikenali itu telah menawarkan mangsa menjadi rakan kongsi untuk membeli barang daripada satu syarikat lain yang berada di luar negara.

“Mangsa bersetuju untuk menjadi rakan kongsi setelah membuat semakan status syarikat itu dan mendapati ia telah beroperasi sejak tahun 1989.

“Mangsa kemudiannya telah diminta untuk memuat turun aplikasi barang jenama mewah di mana jika pelanggan mahu membeli barang, mangsa hanya perlu membayar dengan harga tersebut dan memperoleh komisyen sebanyak 30 peratus,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, tertarik dengan tawaran lumayan itu, mangsa membuat pembayaran wang pendahuluan sebanyak RM22,122 melalui pindahan wang ke atas akaun bank sebuah syarikat.

Bahkan, katanya, antara 17 April hingga 16 Mei, mangsa telah memasukkan wang keseluruhan sebanyak RM1,470,734 ke dalam enam akaun bank berbeza atas nama syarikat secara pindahan atas talian dan melalui kaunter.

“Mangsa sedar ditipu selepas tidak mendapat sebarang pulangan dijanjikan. Laporan polis dibuat lelaki itu Ahad lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI