KULAI – Seorang pesara syarikat swasta ‘terduduk’ apabila wang pelaburan berjumlah RM340,000 lesap setelah terpedaya tawaran daripada sindiket pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa berusia 59 tahun itu tertarik dengan membuat pelaburan yang menjanjikan keuntungan 20 hingga 30 peratus dalam tempoh tiga hari.
Beliau berkata, lelaki tersebut turut teruja apabila wang keuntungan dijanjikan akan masuk ke akaun Aplikasi XC Global, miliknya.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah membuat 19 transaksi pembayaran berjumlah RM340,000 kepada 13 akaun bank tempatan dari 5 Mac hingga 21 Mei lalu.
“Hasil semakan dilakukan mangsa mendapati akaun aplikasi XC Global miliknya mendapati keuntungan yang dijana adalah sebanyak RM936,971,” katanya dalam kenyataan.
Seng Lee berkata, mangsa ingin membuat membuat pengeluaran wang daripada akaun miliknya, namun dia didesak untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM92,00.
“Kali ini, mangsa tidak membuat pembayaran tersebut dan semakan mendapati akaun XC Global miliknya telah disekat,” katanya.
Mangsa yang menyedari dirinya ditipu tampil membuat laporan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kelmarin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu melalui pelaburan tidak wujud.
Jika sabit kesalahan tambahnya, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.- KOSMO! ONLINE