fbpx

Badang negara bimbang kategori 60kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIQ enggan mengambil mudah pencabar-pencabar baharu dalam kategori 60kg selepas ini.

BADANG negara, Muhammad Aniq Kasdan memberi amaran awal mengenai kemunculan pencabar-pencabar baharu susulan penstrukturan semula kategori oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Situasi itu menyaksikan ramai atlet angkat berat dari kelas 55 kilogram (kg) kini berhijrah ke kategori 60kg disertainya ketika ini.

Aniq, 22, yang sebelum ini mendominasi kategori 55kg termasuk merangkul emas Sukan Komanwel 2022, kini beraksi dalam kelas 60kg dan sedar perubahan itu bakal membuka ruang kepada saingan lebih sengit.

“Memang saya jangka ramai dari 55kg akan naik ke 60kg sebab sekarang 60kg ialah kategori paling kecil. Jadi automatik saingan akan jadi lebih kompetitif.

“Kita bercakap tentang atlet dari negara kuat macam China, Korea Utara, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam akan beralih dalam kelas baharu ini.

“Mereka semua ada rekod hebat dalam kategori ringan, jadi saya tak boleh pandang rendah walaupun mereka baru dalam 60kg,” katanya.

Tambahnya, Kelayakan Sukan Komanwel 2026 di India hujung Ogos ini menjadi medan pertamanya menguji kemampuan dalam kelas baharu dengan sasaran sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik.

“Sasaran saya nak layak dulu. Kalau dapat kedudukan lapan terbaik, insya-Allah cukup untuk lepas kelayakan. Kalau dapat podium, terus layak ke pentas Komanwel.

“Sekiranya saya berjaya angkat 298kg atau 295kg, saya rasa sudah memadai untuk layak ke temasya tersebut,” jelasnya.

Aniq yang kini dalam proses pemulihan kecederaan bahu yakin dia mampu sembuh menjelang kejohanan penting itu.

“Bahu saya sakit sikit semasa buat clean & jerk. Ada bunyi macam meletup sikit. Tapi selepas scan (imbas), tak koyak, cuma ambil masa untuk sembuh sepenuhnya,” ujarnya.

Aniq dijadual beraksi dalam tiga kejohanan utama tahun ini iaitu Kelayakan Sukan Komanwel di India (Ogos), Kejohanan Dunia di Norway (Oktober) dan Sukan SEA di Thailand (Disember).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI