SHAH ALAM – Proses persempadanan Selangor dan Putrajaya dijangka dapat dimuktamadkan sepenuhnya pada hujung tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian besar proses melibatkan kawasan berkenaan telah hampir dilengkapkan.
“Setakat ini, proses persempadanan di Putrajaya telah selesai sepenuhnya termasuk di Sepang dan Kuala Langat.
“Kerja-kerja pengukuran sempadan dilaksanakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya selepas Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di sini hari ini.
Bagaimanapun, Amirudin memberitahu, beberapa kawasan lain seperti Ampang, Petaling Jaya dan Subang masih dalam proses untuk diselesaikan.
“Kawasan itu dijangka ambil masa lebih lama berikutan kerumitan sempadan dan pembangunan yang padat.
“Persempadanan di kawasan tersebut memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum dimuktamadkan, tetapi kita optimis ia dapat diselesaikan ,” ujarnya.
Pada 21 Februari lalu, Amirudin memaklumkan, Jupem sudah menyelesaikan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan antara Selangor dan Kuala Lumpur sejauh 103.7 kilometer (km) hujung Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE