MONACO – Pelumba McLaren, Lando Norris mempamerkan pemanduan cemerlang untuk meraih kemenangan sulung di Grand Prix (GP) Monaco kelmarin, sekali gus menghidupkan semula saingan dalam perebutan kejuaraan dunia musim ini.
Berlumba di litar ikonik jalanan Monte Carlo, Norris berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu sepanjang 78 pusingan untuk menamatkan perlumbaan di hadapan pemandu Ferrari, Charles Leclerc yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri yang ingin mencari kemenangan terpaksa berpuas hati melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Kemenangan tersebut menyaksikan Norris kini hanya dipisahkan tiga mata di belakang pendahulu keseluruhan, Piastri yang kini mengumpul 161 mata.
Max Verstappen (Red Bull) pula kekal di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 136 mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
“Saya bangga kerana bukan sahaja memenangi perlumbaan ini, tetapi juga memulakannya dari petak utama dan mengawalnya hingga ke garisan penamat.
“Kemenangan ini sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hayat,” kata Norris selepas perlumbaan.
Kejayaan itu juga membawa makna besar buat McLaren apabila ia merupakan kemenangan pertama pasukan itu di Monaco sejak kali terakhir dilakukan Lewis Hamilton pada 2008.
Hamilton yang kini bersama Ferrari menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima selepas bermula dari petak ketujuh. – AGENSI