BATU GAJAH – Sukan bola sepak tidak sesuai dijadikan satu perniagaan di negara ini kerana ia tidak menguntungkan kebanyakan pasukan yang terlibat dengan kaedah pengurusan sedemikian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia dapat dilihat menerusi pasukan-pasukan yang bergelut dengan masalah kewangan seperti Kedah, Perlis, Perak, Pahang dan Terengganu.
Beliau berkata, hanya pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di negara ini yang tidak berhadapan dengan masalah kewangan terbabit.
“Di Malaysia kita tak dapat nak tiru sebagai mana yang berlaku di luar negara seperti di United Kingdom (UK) yang mana bola sepak ini bukan sahaja sukan, ia adalah perniagaan. Jadi ia akan melakukan apa sahaja untuk memberikan keuntungan kepada perniagaan itu.
“Tetapi di Malaysia termasuk di Perak kita tak dapat buat. Kita swastakan (pasukan bola sepak) dengan harapan pihak swasta membangunkan bola sepak berasaskan kepada perniagaan.
“XOX Berhad cuba sedaya-upaya membantu ataupun membiayai Perak FC tetapi mereka tak mampu. Ia termasuklah semua (negeri) kecuali JDT. Lain-lain negeri penaja memang tak mampu untuk membiayai pasukan bola sepak itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan pengurusan Perak FC semalam untuk menghentikan semua operasi secara rasmi berkuat kuasa serta-merta akibat tekanan kewangan yang dihadapi oleh pasukan itu.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Bandaran Kinta di sini. – KOSMO! ONLINE