GOMBAK – Pempengaruh, CEO Batu yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej dan gambar berunsur seksual kepada remaja perempuan berusia 14 tahun disambung reman sehingga esok.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 22 tahun dikeluarkan selepas permohonan dibuat bagi siasatan lanjut.
“Suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula Jumaat hingga hari ini. Susulan itu, polis memohon sambungan reman dan dibenarkan untuk satu hari lagi.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘CEO Batu’ bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej dan gambar berunsur seksual kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.
Pempengaruh berusia 22 tahun itu diberkas selepas ibu mangsa membuat laporan kepada pihaknya semalam.
Siasatan awal polis mendapati suspek menghantar beberapa imej tidak senonoh dan mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal bulan ini menerusi aplikasi media sosial.
Sebelum ini penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah dihantar oleh seorang pempengaruh kepada remaja perempuan bawah umur.
Menerusi beberapa hantaran di akaun Instagramnya, Caprice dihubungi ibu remaja terbabit yang meminta bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.
Antara tangkap layar yang dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan. – KOSMO! ONLINE