fbpx

Kepimpinan PM jadi tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR IBRAHIM. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menjadi medan untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, melalui kepengerusian ini, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti Majlis Negara Teluk (GCC) dan China.

“Dengan skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir USD25 trilion dan populasi lebih dua bilion orang, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur yang mampan.

“Lebih daripada itu, penganjuran sidang berskala besar ini turut menyumbang manfaat langsung kepada ekonomi domestik khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan serta peluang
perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, hari ini merupakan detik penting dalam perjalanan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Kepimpinan Perdana Menteri akan menjadi tumpuan bukan sahaja dalam membentuk keputusan utama sidang, tetapi juga dalam mempamerkan iltizam Malaysia terhadap keterangkuman, kemampanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Beliau berkata, sidang hari ini akan menyaksikan pelbagai sesi penting melibatkan Perdana Menteri bersama para pemimpin ASEAN dan wakil pelbagai sektor.

Antara yang dijadualkan termasuk sesi plenari dan retreat yang akan membuka ruang kepada perbincangan mendalam berkenaan cabaran serantau dan agenda masa depan ASEAN.

“Sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) bagi memperkukuh dimensi inklusif dalam proses pembuatan dasar serantau.

“Seterusnya, Majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 yang mana Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pembukaan serta Majlis Makan Malam Gala ASEAN, sebagai acara kemuncak hari pertama,” katanya.

Beberapa mesyuarat dua hala juga dijadualkan berlangsung sepanjang hari bersama rakan-rakan strategik termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI