SANTIAGO – Lima orang cedera apabila puting beliung membadai selatan Chile dan meranapkan sebilangan bangunan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Angin puting beliung melanda bandar Puerto Varas sekitar pukul 3.30 petang (waktu tempatan), yang membawa angin berkelajuan 138 kilometer sejam (km/j) hingga 178 km/j.
Setakat ini, dipercayai bahawa puting beliung itu menyebabkan kerosakan sederhana kepada bandar tersebut, termasuk bumbung rosak teruk, kenderaan dan kios terbalik, tingkap pecah serta pintu tercabut.
Menurut Perkhidmatan Negara bagi Pencegahan dan Tindak Balas Bencana (Senapred), setakat pukul 3.30 petang (waktu tempatan) semalam, lapan orang dilaporkan cedera, manakala kira-kira 30 rumah serta sebuah pasar raya rosak.
Seorang wartawan, Salvador Schwartzmann menulis dalam catatan di aplikasi X: “Lima cedera dan 10,000 terputus bekalan elektrik di Puerto Varas. Sebanyak 30 buah rumah musnah, talian elektrik dan pokok tumbang serta banyak bumbung diterbangkan angin kencang 170 km/j.”
Dalam catatan susulan, dia berkata, pasar raya turut musnah serta menyiarkan semula video kereta dan rumah yang telah musnah di bandar itu.
Berdasarkan satu rakaman video ketika kejadian, objek-objek dilihat berpusar ditiup angin, manakala wayar elektrik terbang di udara.
Beberapa gambar menunjukkan kerosakan teruk pada bangunan awam termasuk stesen minyak dan pangsapuri musnah. – AGENSI