SILVERSTONE – Masa depan bintang muda Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Pedro Acosta terus menjadi perhatian apabila pelumba Sepanyol itu dikaitkan bakal menyertai VR46 bagi musim 2026.
Ketua Pasukan VR46, Pablo Nieto menjelaskan, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan berkaitan barisan pelumba mereka menghadapi musim hadapan.
“Ketika ini masih terlalu awal untuk berbincang mengenai barisan pelumba bagi musim 2026.
“Tumpuan kami adalah kepada pelumba sedia ada kerana kami yakin dengan fokus yang tepat mampu untuk mencapai keputusan terbaik,” katanya
Difahamkan, Acosta yang baru berusia 20 tahun dan mewakili KTM Factory Racing, kurang berpuas hati dengan prestasi jentera musim ini walaupun masih mempunyai kontrak bersama pengeluar dari Austria itu.
Selain dikaitkan dengan VR46, Acosta turut dilaporkan mendapat perhatian daripada Honda walaupun terdapat spekulasi juara dunia, Jorge Martin yang diuruskan oleh ejen sama juga berhasrat menyertai pasukan Jepun itu pada musim depan.
“Acosta merupakan pelumba yang menarik minat banyak pasukan. Jika anda bertanya kepada mana-mana pasukan ketika ini, mereka pasti mengakui perkara itu,” ujar Nieto.
VR46 yang dimiliki legenda MotoGP, Valentino Rossi sebelum ini dikatakan lebih cenderung untuk mengetengahkan pelumba-pelumba daripada Akademi VR46.
Namun, pendekatan itu mula berubah apabila pasukan tersebut mendapatkan khidmat Fabio Di Giannantonio daripada Gresini Racing pada musim lalu. – AGENSI