SUBANG JAYA – Angkara cemburu, seorang lelaki parah selepas ditetak bekas suami kekasihnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita menyatakan teman lelaki telah ditetak di bahagian kepala kira-kira pukul 2.15 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 47 tahun tinggal bersama bekas isteri salah seorang suspek.
“Bekas suami wanita tersebut telah datang ke rumah mereka bersama dua rakannya sebelum bertindak memukul dan menetak mangsa.
“Suspek dipercayai menggunakan pisau dan batang besi dan memukul badan dan kepala mangsa sehingga mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, ketiga-tiga suspek dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.
“Punca kejadian adalah disebabkan masalah rumah tangga dan cemburu.
“Usaha mengesan kesemua suspek masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Orang ramai yang empunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau Inspektor G. Dinesh di talian 011-33094457. – KOSMO! ONLINE